Saturday, August 24, 2013


Saya memulakan tugas sebagai pensyarah di Jabatan Senibina Landskap, FSPU, UiTM Perak kira-kira dua tahun yang lalu - Mei 2011. Ia adalah impian yang dipasang semenjak 1996 ketika bertugas di sebuah firma perunding di Subang Jaya, Selangor. Impian yang tercipta selepas melihat beberapa rakan-rakan pejabat yang berkelulusan Sarjana Muda Senibina Landskap (saya hanya memiliki diploma pada waktu itu) mendapat tawaran sebagai pensyarah di UIAM dan UPM. Saya melihat ia adalah tanda aras kejayaan perjalanan hidup seseorang individu yang ingin mencari dan memberi. Kini, alhamdulillah, saya sedang meniti perjalanan itu. Ia adalah kerjaya yang sangat menarik, mencabar dan menuntut saya menjadi lebih fokus berbanding dahulu. Cabaran kerjaya sebagai ahli akademik sangat memerlukan daya tahan fizikal dan mental yang sangat tinggi apabila bidang tugas bukanlah setakat mengajar dan membuat penyelidikan semata-mata. Rupa-rupanya, ia adalah tentang SEBUAH PERJALANAN MASA. Lalu saya terkenangkan, masa yang berbaki semakin singkat, manakala masa yang ditinggalkan semakin jauh. Adakah saya masih diberi kesempatan untuk terus menadah ilmuNya?